12 Mei 2014 - 05:15
Kraftangan bom Israel

Seorang penggiat seni Palestin di kem pelarian Elbridge, Gaza mempamerkan kelongsong dan serpihan bom-bom Israel yang telah diolah menjadi kraftangan.

Konsep yang beliau gunakan dalam seni kraftangan tersebut ialah kelestarian denyut nadi kehidupan insan di Palestin dengan menggunakan kelongsong dan serpihan bom serta peluru yang membunuh kanak-kanak Palestin.

Agensi Berita Ahlul Bait (ABNA.co) - Muhammad al-Zomar, seorang penggiat seni Palestin berjaya mengolah kelongsong dan serpihan bom-bom yang pernah digunakan Israel dalam serangan terhadap Gaza sebagai kraftangan.

Beliau yang tinggal di kem pelarian Elbridge kini berjaya mempamerkan beberapa hasil kraftangan unik antaranya ialah kelongsong bom yang diukir dengan nama kanak-kanak Palestin yang terbunuh dalam beberapa siri serangan tentera Israel ke atas Gaza. Selain itu, salah satu kelongsong tertera rangkai kata "Kami masih hidup" sebagai cenderamata hari Valentine.

Beliau berkata, "Saya pernah menerima sebuah hadiah sempena hari Valentine 14 Februari, dari situ terlintas di fikiran saya untuk menulis hari Valentine pada kesan-kesan bom sebagai cenderamata. Dengan ini penduduk dunia akan melihat bagaimana kami menyambut hari Valentine di Palestin. Hari tersebut bagi Palestin berbeza dengan dunia luar. Apa yang terjadi di semenanjung Gaza berbeza sebanyak 180 darjah dengan dunia luar".

Al-Zomar seorang penganggur dan ayah kepada dua anak telah berusaha mengumpul bahan-bahan ini sejak tiga tahun lalu.

Tambah beliau lagi, "Saya ingin memberikan pesanan kepada dunia bahawa semenanjung Gaza juga mempunyai dimensi kemanusiaan, insan bukan tentera dan tidak dapat mempertahankan diri sendiri sedang dibunuh. Tanpa sebarang alasan bom-bom ini jatuh ke atas kepala mereka".

Menurut beliau lagi,konsep yang beliau gunakan dalam seni kraftangan tersebut ialah kelestarian denyut nadi kehidupan insan di Palestin dengan menggunakan kelongsong dan serpihan bom serta peluru yang membunuh kanak-kanak Palestin. Berasaskan laporan agensi bantuan kemanusiaan PBB, terdapat empat ribu rakyat Palestin menghuni kem pelarian Elbridge, Gaza.